Sunday, 17 June 2012

Sejarah & Tatacara Boria Pulau Pinang




Segmen pertama :
Sketsa SEBABAK (satu tempat kejadian lakonan) contohnya jika sketsa itu kejadiannya berlaku di rumah, maka adengan lakonan/sketsa ituHANYA berkisarkan suasana di rumah sahaja. Sketsa haruslah mempunyai mesej, nasihat dan berunsur humor. Rentetan sketsa ini akan dikupas kembali di dalam rangkap lagu untuk segmen ke dua iaitu di dalam senikata rangkap lagu oleh Tukang Karang.




Segmen ke dua.
Persembahan pergerakan/tarian yang seragam mengikut kreativiti kumpulan yang terdiri dari Tukang Karang (Ketua/Solo Utama) dan Sailor (kini ada golongan yang menamakan “kelasi” yang memang ditentang oleh pengiat lama sebab “sailor” adalah nama khas untuk penari latar dari zaman dahulu.)





SEJARAH DAN LATAR BELAKANG BORIA

       Permainan Boria ini banyak dikatkan dengan peristiwa Karbala iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hassan dan Saidina Hussein r.a iaitu putera kepada Saidina Ali (cucu Nabi Muhammad s.a.w) oleh tentera-tentera Muawiyah bin Abi Suffian. Peristiwa ini membuatkan pengikut-pengikut Syiah mengadakan upacara perkabungan tahunan . Semasa upacara atau majlis itu para pengikut akan bersyair, bersajak, berlakon sementara ada pengikut yang sanggup meratap serta mencederakan diri sendiri hingga berdarah semata-mata ingin meratapi dan merasai suasana peristiwa Karbala itu. Upacara atau majlis ini dikenali sebagai Ta’ziya.
Apabila pergerakan ini cenderung ke arah politik, maka ada kumpulan yang menjadikan persembahan atau majlis ini untuk mencari pengaruh maka majlis ini mulalah dibiayai oleh taukeh atau saudagar-saudagar kaya untuk menarik minat pengunjung dating menyertai majlis tersebut.Sekitar abad ke 19, permainan boria ini dibawa oleh golongan India Muslim ke Pulau Pinang yang kemudiannya mempengaruhi minat turut sama oleh orang-orang Melayu tempatan. Setelah orang - orang Melayu tempatan menarajuinya maka banyak elemen dan perubahan yang telah diperbaharui. Semangat Kebangsaan menentang penjajah (Kerajaan British) pada kita itu. Oleh kerana perjuangan menuntut kemerdekaan begitu kuat, maka boria dijadikan landasan untuk golongan Melayu serta golongan minoriti lain bersama menjayakan persembahan boria ini iaitu golongan India dan golongan Cina.


       Perkataan Boria dikatakan berasai dari perkataan ‘Borai’ dari bahasa Hindustan yang bermaksud gila atau sasau. Boria jua bermaksud tikar kerana ia dikaitkan dengan sepoi-sepoi (askar-askar) India yang dibawa masuk oleh British mempersembahkan boria di atas hamparan tikar sertya pakaian mereka juga dibuat dengan tikar untuk mengambarkan kesengsaraan hidup di zaman Saidina Hassan dan Hussein r.a di Karbala.
Ada juga yang berpendapat ia berasal dari perkataan ‘Bori’ dari kaum Gujerat yang dating berdagang dan menetap di Pulau Pinang. Ada pula mengatakan perkataan Boria itu asalnya dari perkataan ‘Ria’ sahaja iaitu bersuka ria dan kemudian dinamakan Boria. Apapun dari mana perkataan asal Boria ini tiada siapa yang dapat mengatakan betul atau salah sebab ia hanyalah dating dari ‘sumber lisan’ bukan dari fakta yang dicatat atau ditulis di mana-mana .


TATA CARA atau ADAP PERMAINAN BORIA.

Segmen Pertama
Sketsa Sebabak (telah diulas terdahulu)

Segmen ke dua.
1- Kemasukan Sailor dan Tukang Karang – Kemasukan mereka akan diiringi muzik masuk (intro) sebaik sahaja pelakon sketsa selesai dan keluar.



2- Tukang Karang akan memulakan rangkap pertama secara solo sambil menggoyangkan tongkat dan Sailor akan menyahut rangkap pertama beramai - ramai sambil membuat pergerakan.Lenggok suara serta alunan suara Tukang Karang mestilah BUKAN mendayu-dayu, merdu seperti nyanyian lagu Pop sebaliknya pemberatan terhadap kejelasan sebutan seakan-akan sebutan akhir dipendekkan (BUKAN MELISMATIK). Rangkap yang disampaikan oleh Tukang Karang selalunya akan dimulakan dengan rangkap pengenalan kumpulan serta mengalu-alukan hadirin dan Sailor akan menyahut rangkap yang sama itu kembali beramai-ramai. Contohnya :



Tukang Karang :

Mailah ramai-ramai ke Padang Kota,
Selama Tiga hari Boria berpesta,
Merakyatkan seni warisan kita,
Boria Pulau Pinang sampaikan berita.

Sailor :

Mailah ramai-ramai ke Padang Kota,
Selama Tiga hari Boria berpesta,
Merakyatkan seni warisan kita,
Boria Pulau Pinang sampaikan berita.

Rangkap Sailor ini akan disahut berulang kali setiap kali habis rangkap Tukang Karang (berselang seli.)

3- Kemudian Tukang Karang akan menyampaikan rangkap-rangkap yang mempunyai isi, mesej dan nasihat yang berkaitan dengan Tema Boria itu dipersembahkan dan rangkap itu juga mestilah mempunyai perkaitan dengan apa yang telah dilakonkan dalam sketsa Segmen pertama persembahan.

4- Rangkap karangan Boria akan ditamatkan dengan ucapan terima kasih, pengunduran diri , memohon kemaafan sekiranya persembahan Boria mereka menyentuh atau menguris perasaan penonton.

Tukang Karang :

Persembahan kami sampai di hujung,
Terima kasih para pengunjung,
Budi bahasa tetap disanjung.
Boria Pulau Pinang seni dijunjung

Sailor :

Persembahan kami sampai di hujung,
Terima kasih para pengunjung,
Budi bahasa tetap disanjung.
Boria Pulau Pinang seni dijunjung

Rangkap akhir atau penutup ini akan disahut oleh Sailor (rangkap pertama tidak diulang semula)

5- Persembahan Boria ini juga di akhiri dengan muzik penutup untuk mengiringi para Sailor keluar dari pentas. Adapun para pelakon sketsa turut sama beraksi seperti Sailor tetapi pergerakkan mereka lebih bercorak humor dan tidak mengikut 100% pergerakan Sailor. Ada juga Tukang Karang pada zaman 50 an yang keluar dari pentas lebih awal dari Sailor kerana mereka terbawa-bawa pangkat atau kedudukan sebagai Ketua Kumpulan Boria mestilah mendapat layanan atau kedudukan yang lebih tinggi dari Sailor maka dia keluar dahulu.

RANGKAP DAN SENIKATA PERSEMBAHAN BORIA

Mirip kepada Gurindam Melayu di mana sebutan akhiran adalah sama namun ada juga kumpulan yang membuat kesilapan kerana menyangkakan ejaan akhiran sama sudah memadai.. Perbezaan yang nyata dalam rangkap karangan dengan Gurindam Melayu adalah  tiada pengenalan nama kumpulan pada rangkap awal Gurindam, pada rangkap akhir tiada ucapan ampun maaf atau pengenalan kumpulan boria.... jadi lebih tepat saya katakan memang TAK SAMA dengan GURINDAM MELAYU .( kadang-kadang hairan juga para Cendiakawan Universiti atau penggiat Bahasa Melayu mahu pertahankan GURINDAM MELAYU ATAU SYAIR ADALAH SAMA DENGAN RANGKAP KARANGAN...... kajilah sedalam-dalamnya.... 

CONTOH BETUL :

Persembahan Boria bukan sebaRANG,
Dari dahulu hinggalah sekaRANG,
Sketsa ,Sailor dan Tukang KaRANG,
Menghibur mendidik setiap oRANG.

CONTOH SALAH :

Dari Padang Kota sampailah BaGAN, (sebutan akhir GAN)
Pandu hati-hati jangan beranGAN, (sebutan akhir NGAN)
Nasihat Ibu dilupa janGAN, (sebutan akhir NGAN)
Moga dielak dari KemalanGAN. (sebutan akhir NGAN)

Baris Pertama adalah SALAH dan rangkap ini adalah SALAH……

CONTOH YANG TERAMAT SALAH :

PETIKAN DARI BORIA HAIL AMIR

Tukang Karang (Hail Amir) : (rangkap pertama)

Lagu susunan nyanyian Datuk Zainal
Suaranyanya merdu sungguh popular
Begitu terkenal manis buah pala
Kayu baru tongkat Tok Sheikh
Lautannya biru hai pantainya bersih
Ku terpaut oh budinya

Sailor :

Lagu Boria Pulau lah Pinang ( PENAMBAHAN LAH TIDAK DIGALAKKAN)
Iramanya sungguh menawan
Hayunkan kaki buaikan tangan
Budaya Pulau Mutiara
Dendangan ini sudah terkenal
Di seluruh negara kita .

KESELURUHAN RANGKAP HANCUR…LIHAT LAH SEBUTAN AKHIR SETIAP BARIS, STRUKTUR BAHASA YANG TIADA PERKAITAN (contohnya apakah perkaitan suara merdu Datuk Zainal dengan Buah pala, tongkat baru, lautan biru ????) ROSAK DAN AMAT SALAH…SAYA TAK MENYALAHKAN SAUDARA HAIL AMIR KERANA BELIAU HANYALAH PENYANYI TAPI SAYA MENUNDING JARI KEPADA PENULIS LIRIK RANGKAP BORIA ITU, PENERBIT ALBUM PUN SAMA HARUS BERTANGGUNG JAWAB……  KAJILAH DAHULU DISIPLIN / TATACARA RANGKAP KARANGAN BORIA SEBELUM MELAKUKAN APA-APA TERBITAN ATAU KARYA………  MEMALUKAN NAMUN BEGITU RTM MASIH BOLEH MENYIARKANNYA…

Pandangan Peribadi :

Kekuatan Melodi lagu ini amat dasyat…sedap dan amat sesuai untuk dijadikan Melodi Boria…. Susunan Muziknya juga amat menarik dengan iringan kombo yang mantap dengan tiupan brass namun jika rangkap senikatanya dikaji dahulu sebelum lagu ini dirakam… saya yakin lagu ini boleh menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang dan menjadi contoh dan rujukan terbaik untuk memperkenalkan Boria pada dunia luar dari Pulau Pinang. Namun saya berasa sedih ciptaan yang bermutu ini dirosakkan oleh penulis senikata yang tidak perihatin atau tidak tahu tentang Boria….

Sepuluh jari disusun merendahkan diri,
Ampun dan Maaf harap diberi,
Terkasar bahasa tidak disedari,
Semuanya demi anak negeri.

Buat tatapan pencinta seni warisan,
moga jadi panduan anak wawasan,
Budaya bukan hanya untuk hiasan,
Pulihkan Boria dengan langkah berkesan.

Coretan dan luahan :
Murshidee Hj Md Ramli
B. Mus hons (USM )

Rujukan :
1) Tokoh Boria Pulau Pinang , Allahyarham Pak Abdullah bin Darus
2) Prof. Tan Sooi Beng ( Pusat Pengajian Seni, USM)
3. Pengiat Boria , Pak Ngah En Omar bin Md Hashim
4.)Pengiat Boria & Dokumentasi Photo Lama Penang, En Jamil Othman)

1 comment: